KPMNJ lancar Kedai Serbaneka jenama B'Smart
Johor Bahru: Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor (KPMNJ) kini mengorak langkah
baru dengan menceburi bidang runcitan apabila membuka sebuah kedai serbaneka
menggunakan jenama B'Smart yang bakal dilancarkan pembukaannya pada hujung September
depan.
Sebagai permulaan, B'Smart akan dibuka di Tingkat Bawah, Bangunan MARA Jalan Segget Johor Bahru berselalahan JB Bazar yang menjadi tumpuan warga kota Bandaraya Johor Bahru setiap malam termasuk malam minggu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan dan Projek Baru, Syed Salim Syed Mohamed, yakin operasi B'Smart akan mendapat sambutan baik daripada pengguna terutama orang ramai yang lalu lalang sekitar laluan berkenaan berikutan kedudukannya berdekatan kawasan pejabat dan institusi kewangan utama di kawasan Jalan Segget.
Menurutnya, B'Smart dilengkapi dengan pelbagai barangan jualan keperluan harian termasuk makanan dan minuman ringan, pelbagai jenis akhbar, kuih-muih dan beberapa makanan kerepek dan keropok yang berkonsepkan kedai 7 Eleven.
"Kami juga mengalu-alukan barangan makanan dan minuman ringan keluaran anggota Koperasi yang berminat untuk memasarkan barangan produk mereka di kedai B'Smart. Inilah peluang terbaik bagi anggota untuk mempromosikan barangan mereka melalui koperasi.
"Bagi merealisasikan harapan koperasi, pihak MARA sebagai pemilik bangunan di sini sudah memberi kelulusan kepada KPMNJ untuk menyewa ruang niaga di Tingkat Bawah disini. Oleh itu, kami berpendapat, amat wajar sekali Koperasi mengambil peluang perniagaan untuk membuka perniagaan berkonsepkan Kedai Serbaneka", katanya.
Syed Salim berkata, B'Smart dirancang bakal mempunyai rangkaiannya sebdiri apabila dicadangkan di beberapa kawasan dan daerah lain yang difikirkan berpotensi termasuk Pontian, Kluang, Batu Pahat, Muar dan Kota Tinggi.Berikutan itu beliau berharap anggota KPMNJ mengambil peluang untuk berbelanja di B'Smart sebagai tanda sokongan mereka kepada KPMNJ selain membantu meningkatkan lagi keuntungan koperasi yang bakal memberikan pulangan dividen kepada anggotanya.