KPMNJ CADANG BUKA CAWANGAN KEDAI AR-RAHNU DI MUAR DAN PONTIAN

Johor Bahru : KPMNJ telah merancang untuk membuka satu lagi cawangan Kedai Ar-Rahnu di Bandar Muar untuk kemudahan masyarakat Islam di sana khususnya kepada para Anggota.

Bercakap selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Projek Baru di Ibupejabat, Setiausaha KPMNJ, Tuan Hj Syed Salim bin Syed Mohamed merangkap Pengerusi Jawatankuasa menyatakan bahawa sebuah premis milik Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang diuruskan oleh Baitulmal telah dikenalpasti sebagai premis cadangan yang terletak strategik dengan kadar caj sewa yang sangat berpatutan.

Kerja-kerja persiapan bagi projek pembukaan Kedai Ar-Rahnu Cawangan Muar dirancang untuk dijalankan bulan Oktober ini dan dijangka akan beroperasi selewat-lewatnya pada awal tahun 2012 nanti.

Beliau turut menambah , KPMNJ juga sedang membuat kajian dan tinjauan terhadap beberapa premis bagi mengembangkan lagi bisnes Kedai Ar-Rahnu ini khususnya di Bandar Pontian.

Kebelakangan ini, dengan bertambahnya para peminat pelaburan terhadap jongkong dan dinar emas dikalangan masyarakat , sambutan terhadap perkhidmatan Kedai Ar-Rahnu KPMNJ telah bertambah dengan begitu pesat.

Justeru itu, KPMNJ telah merancang untuk membuka cawangan-cawangan perniagaan Kedai Ar-Rahnu di setiap daerah di seluruh Negeri Johor dalam tempoh 5 tahun daripada sekarang.